SALINDAH.COM

Hanya yang terbaik untuk ibu hamil

 

[Muka Depan] [Kelebihan] [Penggunaan] [Testimoni] [Harga] [Pesanan] [Panduan] [Rencana] [Soalan] [Games]

 

Sumber: http://www.homeolibrary.com/Petikan_Karya/ph_sej.htm

SEJARAH PERUBATAN HOMOEOPATI

Mohamed Hatta Abu Bakar, 1997. Perubatan Homoeopati – Banting: HBI Health & Homoeopathy Centre.

 

 

PENDAHULUAN

 

Homoeopati atau dalam bahasa Inggerisnya “homoeopathy” berasal daripada dua perkataan, iaitu “homoios” dan “pathos.” Homoios bermakna ‘serupa’ atau ‘seumpama’. Sementara pathos membawa maksud ‘penderitaan’, ‘perasaan’ atau ‘penyakit’. Dengan itu, homoeopati merujuk kepada cara “merawat penyakit atau pesakit menerusi prinsip serupa dengan yang serupa.”

 

Dalam hal ini, ‘yang serupa’ merujuk kepada semboyan-semboyan atau simptoms. Apa yang dimaksudkan dengan semboyan yang serupa di sini ialah sekiranya seseorang itu mengalami semboyan-semboyan penyakit seperti loya dan muntah, maka ia akan dirawat secara homoeopati dengan penawar yang mampu mengeluarkan semboyan-semboyan loya dan muntah yang serupa. Itulah maksud daripada perkataan “homoeopathy” pada asasnya.

 

Dari segi sejarah, konsep dan undang-undang fundamental homoeopati ini telah bermula sejak zaman Hippocrates, iaitu pakar perubatan Greek yang hidup pada kurun ke 5 sebelum Masehi. Beliau pernah menulis: “By similar things a disease is produced and through the application of the like, it is cured.”  

 

Yakni, menerusi benda yang serupa sesuatu penyakit itu terjadi dan menerusi aplikasi yang serupa ianya disembuhkan.

Konsep dan undang-undang fitrah tersebut juga dimaklumi oleh Paracelsus, iaitu ahli perubatan German abad ke 16 Masehi. Namun Dr. Samuel Hahnemannlah orang yang pertama yang mengasaskan konsep ini menjadi suatu sistem perubatan yang saintifik dan sebagai alternatif kepada sistem ortodoks. Lantas beliau menamakan sistem itu “homoeopathy.”


 

SEJARAH PENGASAS DAN PERKEMBANGAN HOMOEOPATI

 

Christian Friedrich Samuel, iaitu nama sebenar yang diberikan kepada Dr. Samuel Hahnemann, merupakan seorang ahli perubatan berbangsa German yang di lahirkan di Meissen, German Timur pada tahun 1755. Melalui bimbingan ayahnya, Christian Hahnemann, beliau membesar sebagai seorang yang berdisiplin. Semasa menerima pendidikan tinggi di Meissen, beliau dianggap seorang pelajar yang cerdas dan pintar. Kemudian pada tahun 1775, beliau memasuki Universiti Leipzig untuk mempelajari ilmu perubatan.

 

Dua tahun kemudian, beliau meninggalkan universiti tersebut dan menetap di Vienna dan Transylvania. Di sana beliau mempelajari pelbagai bahasa sehingga beliau dapat menguasai bahasa Latin, Arab, Greek, Inggeris, Perancis dan Sepanyol, selain daripada bahasa ibundanya.

 

Walaubagaimanapun, beliau mengambil keputusan untuk menamatkan pengajian perubatannya di Universiti Erlangen di mana beliau telah dianugerahkan ijazah Doctor of Medicine pada 10 hb. Ogos 1779. 

 

Dr. Hahnemann memulakan kariernya sebagai pengamal perubatan di Hettstedt, iaitu sebuah perkampungan galian di Saxony. Sewaktu di Hettstedt, beliau merasa sedih dan kesal kerana tidak dapat memberi rawatan yang berkesan dan sempurna memandangkan keadaan hidup para pelombong serta keluarga mereka yang sangat susah. Lagipun, amalan perubatan pada waktu itu sangat mementingkan pembuangan penyakit dan pembedahan yang terpaksa melalui proses yang memeritkan pesakit sekalipun pembedahan itu tidak begitu perlu dan mendesak. Begitu juga, ubat-ubat berbahaya begitu mudah diberikan kepada pesakit-pesakit yang didapati sukar untuk disembuhkan. Perkara ini membuat Dr. Hahnemann bertambah yakin bahawa apa yang sebenarnya terjadi ialah ‘lebih ramai manusia mati disebabkan rawatan berbanding kerana penyakitnya.’

 

Sembilan bulan berikutnya, Dr. Hahnemann berpindah ke Dessau dan bekerja di Mohren Pharmacy. Farmasi tersebut dimiliki oleh seorang yang agak terkenal di kalangan masyarakat Dessau. Bersama pemilik farmasi itu, Dr. Hahnemann melibatkan diri dalam penyelidikan kimia yang kemudiannya menghasilkan Apothecaries Lexicon sebanyak 4 jilid. Di sini beliau bertemu dan terpikat dengan anak tiri pemiliknya yang bernama Johanna Kuchler yang berakhir dengan perkahwinan. Mereka kemudiannya dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Henriette.


Semasa di Gommern, Dr. Hahnemann mula menceburi bidang penterjemahan untuk menampung perbelanjaannya. Pada tahun 1784, beliau telah melahirkan esei perubatan yang pertama bertajuk “Direction for Curing Old Diseases.” Di sini beliau menyarankan tentang perlunya kesihatan awam, udara bersih, tidur yang mencukupi, senaman rutin dan pemakanan yang seimbang. Beliau juga telah mencadangkan agar rumah-rumah dijarakkan di antara satu sama lain supaya cahaya matahari dan udara bersih dapat masuk dengan banyak.

 

Apabila beliau berpindah ke Dresden, Dr. Hahnemann menyambung pelajarannya dalam ilmu kimia dan perubatan di samping menterjemah pelbagai buku daripada bahasa Perancis, Inggeris, Latin dan Greek ke bahasa German. Sewaktu proses penterjemahan dilakukan, beliau mengambil kesempatan memberikan sedikit sebanyak komentar. Menerusi komen-komen beliau, lebih terserlah lagi betapa luas pengetahuannya dalam bidang kimia dan betapa berlainan pandangannya mengenai ahli farmasi sezamannya serta cara pemberian ubat-ubatan.

 

Ketika beliau sekeluarga pindah ke Leipzig pada tahun 1789, beliau merasakan amalan perubatan pada waktu itu sebagai kasar, tidak bertamaddun dan kurang berkesan. Pandangan ini menimbulkan kemarahan di pihak yang berada dalam profesion perubatan. Dengan itu, dalam jangka masa lima tahun kemudiannya, keluarga Hahnemann senentiasa berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.

 

Dalam saat-saat kesukaran inilah sistem perubatan baru yang dikenali sebagai “homoeopathy” mula berputik. Semasa Dr. Hahnemann menterjemah sebuah buku daripada bahasa Inggeris kepada bahasa German yang ditulis oleh Dr. William Cullen berjodol “A Treaties on Materia Medica,” beliau telah berdepan dengan sejenis ramuan - Cinchona (Peruvian Bark). Cinchona tersebut pernah digunakan untuk merawat malaria di Amerika Selatan dan Eropah. Ia juga dikatakan pernah diguna bagi menyembuhkan Countess of Cuichon, iaitu isteri pembesar Peru.

 

Justeru didorong oleh perasaan ingin tahu yang amat sangat, Dr. Hahnemann telah mencuba beberapa dos `Cinchona’ dengan tujuan untuk menguji kesan dan implikasinya. Setelah dicuba ramuan tersebut, beberapa semboyan utama mula menjelma. Kaki dan hujung jarinya bertukar menjadi sejuk, rasa mengantuk datang secara tiba-tiba, jantung dan denyutan nadinya semakin kencang dan tubuh beliau pula mula menggeletar. Kejadian ini berulang tiap kali dos `Cinchona’ diambil.

 

Takjub akan hasil eksperimen yang tak disangka-sangka itu, terlintas di fikirannya akan satu undang-undang tabii yang mungkin wujud. Undang-undang tersebut yang masyhur dengan nama `Undang-undang Seraksi’ menggariskan bahawa suatu ramuan ubat itu boleh menyembuhkan orang sakit disebabkan ia boleh menghasilkan semboyan-semboyan yang serupa apabila ia diberikan kepada orang yang sihat. Namun di peringkat awalnya, Dr. Hahnemann masih tidak begitu menghargai peri pentingnya penemuan tersebut.

 

Pada musim bunga tahun 1792, beliau memegang jawatan sebagai pengurus di sebuah institusi penempatan orang kurang akal. Di sana beliau membantah cara layanan yang buruk yang diberikan kepada para pesakit. Sebaliknya, Dr. Hahnemann dengan jayanya telah menunjukkan cara layanan yang sepatutnya diberikan sehingga ada pesakit yang sembuh di tangan beliau.

 

Di samping itu, beliau masih meneruskan usaha penulisan tanpa henti sehingga tahun 1805. Dalam waktu yang sama, pada tahun 1796, beliau telah menulis sebuah essei, “New Principles for Ascertaining the Curative Powers of Drug,” yang diterbitkan di dalam Hufeland’s Medical Journal. Tahun inilah yang dikatakan sebagai tarikh lahirnya sistem perubatan homoeopati secara rasmi di mana kemudiannya Hahnemann kembali mengamalkan praktik perubatan di Leipzig, tetapi mengikut cara homoeopati.

 

Satu tragedi melanda Leipzig pada tahun 1799, iaitu merebaknya wabak demam scarlet. Dalam pada itu Dr. Hahnemann mendapati Belladonna sangat seraksi dengan semboyan demam scarlet. Beliau dengan penuh yakin memberikan penawar Belladonna kepada kanak-kanak di Leipzig dalam dos yang diperkecilkan dan ternyata ramai yang terselamat daripada demam scarlet. Sungguhpun saranan Dr. Hahnemann tentang penawar Belladonna dan pemberiannya dalam dos yang kecil menerima tentangan ramai, tetapi pada tahun 1838 kemudiannya kerajaan Saxon mengiktiraf Belladonna sebagai penawar bagi demam scarlet.

 

Dalam tahun 1810, karya Dr. Hahnemann yang terunggul, “Organon of Rational Medicine” diterbitkan. Tajuk buku tersebut kemudiannya diperbaharui dengan nama “Organon of the Healing Art.” Buku ini mengandungi rumusan-rumusan homoeopati sebagai kaedah yang rasional dan menjelaskan ayat demi ayat prinsip-prinsip seni kesembuhan yang ma’kul. Beliau menekankan bahawa kandungannya adalah hasil-hasil daripada pengalaman dan ujikaji yang hanya dirujuk kepada pengalaman dan ujikaji yang dilakukan, dan oleh itu kebenarannya hanya boleh ditolak oleh pengalaman yang berlawanan dan ujikaji juga.

 

Di dalam Organon inilah Dr. Hahnemann mengembangkan prinsip asas homoeopati kepada “SIMILIA SIMILIBUS CURENTUR” - atau “Let likes be cured with likes.” Di mana di dalamnya beliau juga telah memberikan definisi kesembuhan sebenar, iaitu:

 

“Setinggi-tinggi hemah dan tugas doktor itu ialah mengembalikan pesakit kepada sihat sebagaimana yang di kehendaki. Setinggi-tinggi hemah doktor itu ialah mengembalikan kesihatan dengan jalan yang cepat, lemah-lembut dan berkekalan, atau menyembuhkan penyakit secara keseluruhannya dalam jangka masa yang pendek, dapat dipertanggungjawab serta paling tidak merbahaya menurut kaedah yang ma’kul.”

 

Sementara teras sains yang dianjurkan oleh Dr. Hahnemann dalam seni kesembuhan adalah terdiri daripada Undang-undang seraksi, pilihan dos minimum yang sesuai dan ulangan dos.

 

Kini Organon diiktiraf sebagai bahan rujukan utama dalam pengamalan homoeopati seluruh dunia. Ia telah berkali-kali diulang-cetak dan telah diterjemahkan ke dalam sepuluh bahasa termasuk bahasa Perancis, Hungary, Swedish, Rusia, Itali dan Sepanyol. Terjemahan dalam bahasa Inggeris telahpun mula didapati pada tahun 1833.

 

Dalam masa beberapa tahun, Hahnemann mengumpulkan beberapa orang doktor dan sahabat handai yang kejujuran dan kesihatan mereka boleh dipercayai dalam sebuah kesatuan. Kesatuan itu dikenali sebagai ‘the Provers Union.’ Ahli-ahli kesatuan ini kemudiannya mengambil risiko menguji khasiat penawar-penawar dari bahan kimia, akar kayu dan garam galian.

 

Mereka dipertanggung-jawabkan mencatat kesemua semboyan-semboyan yang timbul daripada “proving.” Antara penawar-penawar yang diujibuktikan termasuklah Aconite, Arnica, Belladonna, Ipecacuanha, Nux Vomica, Drosera dan Chamomilla. Kesemua hasil usaha ini telah dikeluarkan di dalam “Materia Medica Pura” yang pertama kali diterbitkan di Dresden pada tahun 1811. Buku tersebut siap keseluruhannya dalam enam jilid pada tahun 1821.

 

Di samping membicarakan tentang penawar-penawar homoeopati dan aplikasinya dalam merawat penyakit, beliau memberi penjelasan yang panjang lebar tentang pendekatan personal dalam rawatan homoeopati. Beliau juga untuk kesekian kalinya, sekali lagi menekankan tentang kesembuhan kekal yang hanya boleh didapati menerusi ‘penawar homoeopati dalam dos yang kecil’.

 

Malangnya penggunaan dos kecil ini telah membangkitkan kemarahan pembancuh-pembancuh ubat yang mengalami kerugian besar sejak ia diketengahkan. The Liepzig Guild telah bersepakat untuk memerangkap Dr. Hahnemann. Satu undang-undang Constitutiones Frederici II Imperatoris diluluskan bagi tujuan menghadkan kerja-kerja membancuh ubat khusus untuk orang-orang tertentu sahaja.

 

Yakni, ia hanya boleh dilakukan oleh pembancuh-pembancuh ubat sahaja dan dengan itu para doktor dilarang daripada memberi ubat secara langsung kepada pesakit.

 

Dr. Hahnemann mendapati adalah mustahil bagi beliau untuk mematuhi undang-undang yang baru diluluskan itu kerana para pembancuh ubat sudah pasti akan membancuh dalam dos yang besar. Tindakan Dr. Hahnemann untuk tidak mematuhi undang-undang tersebut menyebabkan The Liepzig Guild mengemukakan aduan kepada Majlis Perbandaran. Lantas beliau dihadapkan ke mahkamah atas sebab melanggar undang-undang negeri.

 

Tekanan ke atas amalan homoeopati berlanjutan beberapa tahun. Banyak artikel yang memperkecilkan homoeopati disiarkan di dada akhbar dan di dalam jurnal perubatan. Agak ramai juga doktor-doktor homoeopati ditekan dan didakwa. Umpamanya, Dr. Karl Franz telah dipaksa agar bersara dan Dr. Christian Hornburg didakwa dan dipenjara sehingga beliau meninggal dunia tiga hari kemudiannya.

 

Bahkan akhirnya Dr. Hahnemann sendiri meninggalkan Leipzig menuju Kothen.

 

Meskipun Dr. Hahnemann tidak gemar tinggal di Kothen, namun Duke Ferdinand telah membenarkan beliau mengamal homoeopati. Malahan Duke sendiri menjadi pesakit beliau. Cita-citanya berjaya dan amalan perubatannya semakin maju. Perkembangan terbaru ini terus tersebar dan ramai daripada sahabatnya yang telah mula mengamal homoeopati saling berutus surat dengan beliau untuk bertukar pendapat. Pada waktu itu, usia Dr. Hahnemann telah menjangkau 66 tahun.

 

Sebuah lagi buku utama yang dikarang oleh Dr. Hahnemann ialah “The Chronic Diseases, Their Peculiar Nature and Their Homoeopathic Cure.” Jilid pertama buku tersebut mengembangkan idea-idea mengenai prinsip-prinsip dan amalan homoeopati serta pendekatan holistiknya. Sementara jilid kedua menceritakan tentang kuasa hayat sebagai kuasa penyembuhan tubuh manusia. Dalam penekanannya tentang kuasa hayat, beliau telah memperkenalkan aspek-aspek metafizik homoeopati dan lantas memperkenalkan teori “psora” yang berkaitan dengan pembawaan penyakit dari satu generasi kepada generasi yang lain.

 

Beberapa tahun kemudian isterinya Johanna meninggal dunia dan Dr. Hahnemann sudah hampir pada detik-detik persaraan daripada mengamal homeopati. Hidupnya mekar semula dengan kehadiran Melanie D’Hervilly yang datang untuk mendapatkan rawatan homoeopati daripada beliau. Pada waktu itu, beliau sudah begitu terkenal sebagai orang yang mengasas homoeopati. 

 

Pada Januari 1835, Dr. Hahnemann mengahwini Melanie yang pada waktu itu berusia dalam lingkungan 30 tahun. Sedangkan usia Dr. Hahnemann di waktu itu sudah hampir 50 tahun lebih tua daripadanya.

 

Hanya kira-kira tiga bulan sebelum beliau menyambut hari jadinya yang ke 80, Dr. Hahnemann telah dipilih sebagai “Honorary Member of the North American Academy of Homoeopathy” berpusat di Allentown, Pennsylvania. Ia merupakan kolej homoeopati yang pertama didirikan di Amerika Syarikat oleh Dr. Constantine Hering, iaitu salah seorang daripada sahabatnya yang sama-sama berjuang menegakkan sistem perubatan homoeopati. 

 

Kejayaan rawatan beliau yang ditambah dengan dorongan dan promosi daripada isterinya sendiri menyebabkan amalan homoeopatinya terkenal sekali sampai ke England, Peranchis, Eropah dan ke seluruh dunia. Sementara penentangan daripada kalangan doktor allopati menurun dengan mendadak pada awal 1840an.   Dan akhirnya, pada 2hb Julai 1843 Dr. Hahnemann telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Beliau pergi setelah bergelut dengan pelbagai tragedi dalam memperjuangkan perubahan dan mengembangkan sistem perubatan homoeopati.

 

 

KEMEROSOTAN HOMOEOPATI

 

Perkembangan homoeopati mulai mengalami zaman kemelesetan selepas kematian beliau berikutan penemuan-penemuan baru dalam ilmu perubatan konvensional. Meskipun kemajuan sistem perubatan konvensional tidak memperlihatkan sebarang pertentangan dengan konsep-konsep homoeopati, tetapi sikap cemburu pakar perubatan terhadap homoeopati berterusan menghimpit kedudukannya di mata masyarakat. 

 

Inilah yang mengakibatkan kejayaan homoeopati dalam merawat pesakit kolera pada tahun 1854, seperti yang dilaporkan oleh Margery Blackie, telah tidak mendapat perhatian dan disembunyikan dalam laporan yang dibuat oleh British Medical Council. Hanya apabila perkara tersebut dibawa ke parlimen, barulah didedahkan bahawa kadar kematian bagi kes kolera di hospital homoeopati London hanyalah 16.4 peratus berbanding 51.8 peratus di hospital-hospital lain. Namun begitu, sikap cemburu dan prejudis terhadap homoeopati tidak dapat diredakan.

 

Dalam keadaan demikian, homoeopati masih tumbuh dan melata ke segenap penjuru dunia. Bukan saja ia berjaya meneroka negara-negara di Eropah, England dan Amerika Syarikat, malah berkembang ke negara-negara di Amerika Selatan, benua Afrika, Australia, New Zealand, Rusia dan ke Asia seperti Pakistan, India, Sri Lanka dan Malaysia.

 

 

PERKEMBANGAN HOMOEOPATI DI MALAYSIA

 

Di Malaysia, sistem perubatan homeopati diasaskan oleh seorang tokoh yang amat berjasa kepada tanah air iaitu Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy (1911-1969). Seorang yang bergiat cergas dalam organisasi politik dan agama, salah seorang pengasas Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pernah menjawat jawatan presiden Partai Islam Se Malaysia (PAS). 

 

Homoeopati dibawa masuk dan diperkenalkan di tanah Melayu oleh Dr. Burhanuddin apabila beliau pulang ke Malaya pada tahun 1929. Beliau merupakan graduan daripada Ismaeliah Medical College, New Delhi.

 

Berdasarkan keterangannya, homoeopati begitu berjasa kepadanya kerana telah berjaya menyembuhkan penyakit lelah yang dialaminya. Selanjutnya, pada tahun 1937 hingga tahun 1942, beliau bersama Prof. Dr. Rajah membuka Gedung Homoeopati di Singapura dan Johor Bharu. Usaha ini terhenti apabila beliau sibuk menguruskan soal-soal agama dan tanah air. Malah beliau pernah ditahan selepas tragedi NATRAH di Pulau Sekijang, untuk tempoh Ogos 1951 - Sept. 1952.

 

Pada akhir tahun 1952, beliau mula kembali mengamal dan menggunakan penawar homoeopati dengan memberikan banyak pertolongan kepada keluarga dan sahabat handai. Kemudiannya, dalam pertemuan dengan beberapa orang pemuda, beliau mencadangkan supaya ilmu perubatan homoeopati dipelajari dan dikembangkan sehingga menjadi perubatan nasional bagi negara Malaysia Merdeka. 

Berdasarkan tulisan Prof. Dr. Mohd Nor, selepas lebih enam bulan, barulah dapat dikumpulkan seramai dua belas orang penuntut. Pada 15 hb. Dis. 1953, Dr. Burhanuddin telah menulis surat kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran Singapura untuk mengajar dan mempraktik homoeopati..  

 

Dalam surat jawapan terhadap permohonan itu, disebutkan bahawa amalan mempraktik homoeopati tidak diiktiraf dan kerana itu lesen mempraktik tidak perlu dikeluarkan. Kebenaran bagi kuliah rasmi perubatan homoeopati diterima, tetapi pengamal homoeopati tidak boleh didaftarkan sebagai Medical Practitioners mengikut  Medical Registration Ordinance dan tidak boleh dipanggil “Doktor.” 

 

Walaupun tanpa pengiktirafan - dengan kebenaran itu, tahun 1953/1954 dianggap tahun yang bersejarah dalam tinta tanah air. Pada tahun tersebut, lahir sebuah institusi atau pusat pengajian homoeopati yang pertama secara informal di rumah Dr. Burhanuddin sendiri iaitu Kampung Pachitan, Singapura. Antara 12 orang pemuda perintis yang mengikuti kuliah itu termasuklah Prof. Dr. Mohd. Nor Noordin, Dr. Hj. Dali b. Hj. Muin, Dr. Mohammed Hj. Yaakub dan Dr. Abd. Rahman Hj. Hashim.

 

Teks yang digunakan dalam kuliah bagi generasi pengasas pada waktu itu terdiri daripada: The Organon of Medicine (Hahnemann); Materia Medica (Nash, Kent, Chauldry); Philosophy (Kent); The Chronic Diseases (Hahnemann); Muqaddimah (Ibnu Khaldun) dan termasuk juga kitab Hadis Arbain. 

 

Asas sumpah Hippocrates yang masyhur telah dijadikan asas “Janji Setia”. Justeru itu, setiap pelajar perubatan homoeopati: harus menganggap Gurunya sebagai Bapa dan anak mereka sebagai saudara kandung, sanggup memandang sesama sendiri sebagai keluarga; berjanji tidak memberi “Drug” yang membahayakan serta membunuh kepada pesakitnya; berjanji tidak memberi ubat bagi menggugurkan Janin dalam kandungan; menjaga kehormatan seni rawatan dengan penghormatan yang tinggi; dan sentiasa sedia memberi khidmat di mana sahaja ia berada.

 

Meskipun ilmu perubatan homoeopati tersangat baru dan pelbagai anggapan negatif dihadapi, tetapi beliau menjelaskan betapa pentingnya menyemaikan ilmu kepada anak bangsa terutama ilmu berkaitan dengan kesihatan sebagai melengkapkan pengisian kemerdekaan suatu bangsa. Justeru itu, dalam ucapan pembukaan kuliah sulungnya, beliau menyatakan:

 

“....... saya berpendapat, ilmu kedoktoran homoeopati ini adalah satu milik bangsa (national asset) yang dapat saya sembahkan menjadi pusaka kekal buat negara yang merdeka kelak.”

 

“Selain dari itu yang menjadi pilihan saya kepada homoeopati ialah kerana pengalaman saya mengidap penyakit lelah di mana puas saya berubat dengan ubat-ubat lain tetapi tidak mahu sembuh. Tetapi setelah saya mencuba ubat homoeopati, maka idapan saya yang selama ini tidak baik-baik, telahpun pulih.”

 

“Oleh itu, saudara-saudara perintis adalah merupakan angkatan yang menjadi harapan bangsa di masa akan datang. Apa lagi ilmu kedoktoran ini adalah satu cabang ilmu mengikut aliran tabii semula jadi. Oleh itu ia merupakan suatu sistem yang sejajar dengan kehendak nature.”

 

Kuliah-kuliah bergerak cergas di pusat Malaysia Health Centre (MHC) di 107, Jalan Sultan Singapura. Pada tahun 1957 terdiri pulalah Dewan Kesihatan Melayu di Singapura dan Dewan Tata Hidup di Kuala Lumpur. 

 

Semangat memperkembangkan homoeopati semakin mendapat perangsang apabila Dr. Corea datang melawat Malaya secara rasmi dengan tugas Congress Perubatan Homoeopathy Sedunia pada masa Malaya Merdeka. Dr. Edward Mac. Heyzer yang pernah bertugas sebagai doktor dan surgeon tentera dalam angkatan tentera British semasa perang Jepun turut aktif membantu memperluas dan memperkenalkan homoeopati di hospital dan golongan terpelajar. Beberapa orang India yang mempelajari homoeopati juga membantu dengan bertindak secara layman physician dalam memberi rawatan atau membuka kedai-kedai ubat homoeopati.

 

Pada tahun 1960, berkumpul pula para pendokong dan perintis homoeopati di Kuala Lumpur untuk memikirkan nasib dan matlamat sistem perubatan homoeopati serta menggariskan perjuangan untuk dekad-dekad akan datang. Berkat azam yang kuat dan sama semuafakat, maka tertubuhlah sebuah persatuan homoeopati yang pertama di Malaysia yang dikenali dengan nama “Persatuan Homoeopathy Malaya” (Homoeopathic Society of Malaya).


Persatuan Homoeopathy Malaya didaftarkan secara rasmi pada tahun 1961 di mana Presiden pertamanya ialah Prof. Dr. Burhanuddin sendiri.

 

Setiausaha agungnya, Dr. Mohammad bin Hanif dan Bendahari agungnya ialah Dr. Yaakob Ibrahim. Ahli-ahli jawatankuasa yang lain termasuk Dr. Rahmat b. Ma’dom, Dr. Rashad Shamsuddin, Dr. Abd. Rahman Hashim, Dr. Bahrom Shah dan Dr. Ismail b. Muhammad. Ibu pejabat persatuan di waktu itu ialah di 38-B Jalan Hale (Raja Abdullah) Kuala Lumpur.

 

Di dalam ucapan semasa merasmikan persatuan ini, Prof. Dr. Burhanuddin menggariskan tujuan dan matlamat persatuan sebagai:

  • Mendirikan dan memajukan perubatan homoeopati dan lain-lain cara tabii.

  • Menggalak dan meninggikan kesihatan, kewarasan, kecerdasan rohani dan jasmani.

  • Mengadakan kemudahan bertukar fikiran dan pengetahuan antara ahli dan orang ramai dengan mengadakan ceramah dan lain cara yang halal.

  • Memajukan kepentingan bersama, meninggikan akhlak dan pelajaran.

  • Menanam semangat dan kemahuan untuk memajukan diri sendiri dan mengajarkan kepada ahli akan kegiatan-kegiatan homoeopati.

Persatuan yang ulung ini membuka keahliannya kepada tiga jenis keahlian ialitu: ahli penuh, ahli bersekutu dan ahli penyokong di mana hanya orang yang mempunyai kelayakan sahaja diterima sebagai ahli penuh. Bersama dengan itu juga, Dr. Burhanuddin menganjurkan agar pusat-pusat rawatan homoeopati ditubuhkan. Di samping memberi rawatan, pusat-pusat ini juga boleh menjadi tempat-tempat latihan kepada pelajar-pelajar homoeopati.

 

Jasa Dr. Burhanuddin seterusnya ialah menyuarakan isu-isu homoeopati beberapa kali di Parlimen semasa beliau menjadi ahli parlimen bagi tahun 1959-1964. Suaranya yang lantang membolehkan aktiviti mengembangkan ilmu perubatan homoeopati bergerak ke seluruh negara. Kemudian dalam mengembangkan homoeopati seterusnya beliau berusaha mengumpulkan pelajar-pelajar yang setia untuk mengikuti kuliah homoeopati di Ehya Assharif Gunung Semanggol, Perak. 

 

Tidak banyak tulisan-tulisan yang memperincikan kegiatan pengembangan ilmu perubatan homoeopati yang dilaksanakan oleh beliau di tahun-tahun berikutnya. Akhirnya, pada 25 hb. Oktober 1969, Dr. Burhanuddin pulang ke rahmatuLlah setelah berjaya menaburkan banyak jasa-jasa kepada masyarakat, orang Melayu, Islam, politik tanah air dan tidak ketinggalan mewariskan homoeopati. Justeru banyaknya jasa-jasa beliau seperti yang disebut-sebut dalam sejarah tanah air sebelum dan selepas merdeka, maka beliau masih dikenang hingga ke hari ini.

 

Pemergian Allahyarham Dr. Burhanuddin memang sukar dicari ganti. Tetapi demi untuk menerajui persatuan yang masih muda ini, kepimpinan persatuan diberikan kepada timbalannya iaitu Prof. Dr. Mohd. Nor Noordin. Pergerakan homoeopati dikatakan bergerak lebih aktif lagi selepas itu dengan menambah bilangan peminat dan penyokongnya. Pada tahun 1979, persatuan ini diubah namanya kepada Persatuan Perubatan Homoeopathy Malaysia (Malaysia Homoeopathy Medical Association) atau ringkasnya PPHM.

 

Di bawah pimpinan Dr. Mohd. Nor, persatuan ini semakin giat aktivitinya dengan menganjurkan ceramah, seminar dan memberi kuliah. Ini terutamanya apabila pusat-pusat rawatan homoeopati mula tumbuh dengan pesatnya di Kuala Terengganu, Guar Chempedak (Kedah), Parit Buntar, Krian (Perak), Muar (Johor), Jasin (Melaka), Sungai Besar, Klang, Sekinchan (Selangor), Kota Bharu dan lelain tempat lagi di mana khidmatnya mendapat sambutan.

 

Pada tahun 1980an, persatuan ini juga mula mendapat sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat dan banyak seminar-seminar yang diadakan turut dinaungi oleh tokoh-tokoh politik. Dengan pertolongan pengamal-pengamal seperti Dr. Dali, Dr. Abd. Ghani, Dr. Nik Omar, Dr. Teo, Dr. Ghulam Rasool dan ahli jawatankuasa PPHM 1970-1984, diberitakan bahawa homoeopati berjaya dikembangkan di universiti-universiti, terutama di UTM. 

 

Perkembangan di akhir-akhir ini menunjukkan satu demi satu pertubuhan homoeopati diwujudkan samada ia mendapat asas daripada PPHM ataupun tidak. Antaranya ialah persatuan Dr. Mohamad Hj. Yaakob yang menubuhkan Persatuan Perubatan Homoeopathy Bumiputera Malaysia (PPHBM) yang beribu pejabat di Johor Bahru, Persatuan Pengamal-pengamal Perubatan Homeopati Berdaftar Malaysia (MRHP) di bawah Dr. Nik Omar dan Persatuan Pengamal Perubatan Homoeopati Malaysia (PPPHM) yang berpusat di Alor Star, Kedah.

 

Bagaimanapun, kata sepakat dicapai antara PPHM dan PPHBM untuk menyelaraskan daya usaha dan tenaga serta menyambung amanah al-Marhum Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy dengan bergabungnya kedua-dua kesatuan itu menubuhkan Majlis Homoeopati Kebangsaan Malaysia pada 11 April 1993. Dengan itu ahli-ahli kesatuan yang bergabung itu dapat bekerjasama mempertahankan homoeopati tulen mengikut fahaman mereka.

 

Namun begitu, peranan MRHP turut menonjol dari segi perkembangan homoeopati di mata masyarakat mutakhir ini justeru aktivitinya yang bersifat komersil selain aktiviti biasa memberi kursus dan ceramah seperti PPHM. Banyak barangan atau hasil keluaran homoeopati dari kesatuan tersebut mendapat tempat di hati masyarakat. Ini termasuk juga aktiviti dan usaha MRHP membantu masyarakat Selatan Thai sewaktu mengalami banjir dan mangsa peperangan saudara di Afghanistan. 

 

Sementara penerokaan kursus jarak jauh dan penerbitan majalah “Utusan Kesihatan” untuk tatapan umum oleh PPPHM turut membantu mengembangkan homoeopati dengan lebih meluas. Meskipun PPHM yang bersikap tradisional mengkritik dan enggan mengiktiraf kursus seumpama itu, namun ia turut berperanan membantu memperluaskan ilmu perubatan homoeopati di mata masyarakat. Dalam hal ini, perlantikan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah sebagai penaung PPPHM mungkin membantu persatuan tersebut dalam kelangsungannya.

 

Selain itu, terdapat aktiviti-aktiviti pengembangan homoeopati yang dijalankan secara bersendirian.  Ini berlaku menerusi pembukaan pusat-pusat rawatan, pengeluaran produk baru homoeopati, jualan langsung (direct selling), penerbitan majalah/makalah dan seumpamanya. Walaupun aktiviti-aktiviti secara bersendirian tidak digemari oleh persatuan dan mungkin menimbulkan natijah sampingan, sedikit sebanyak ia telah membantu menyebarkan ilmu perubatan tersebut. Malah tidak sedikit aktiviti secara individu turut mendapat tempat di media dan majalah.  

 

Bagaimanapun, perkembangan yang menarik dalam sejarah homoeopati di Malaysia dan yang membezakan ia dengan sejarah perkembangan homoeopati awalan dan di negara-negara lain ialah mengenai usaha murid-murid Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy dalam memperkaitkan antara perubatan homoeopati dengan Islam. Antara bukti-bukti yang sering diperjelaskan oleh mereka termasuklah prinsip similimum yang dikiaskan kepada hadis Rasulullah s.a.w. mengenai jatuhnya lalat ke dalam minuman (yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Abu Daud), keseimbangan vital force sebagai pancaran ruh dan nama-nama penawar homoeopati yang digunakan yang mana sebahagiannya ada tersebut di dalam al-Qur’an.

 

 

KESIMPULAN

 

Menyorot kembali sejarah bermulanya homoeopati sejak zaman penemuannya sehingga ia berkembang ke pelbagai negara, jelaslah bahawa zaman yang dilalui oleh Dr. Samuel Hahnemann merupakan zaman yang sangat sukar dan penuh tribulasi. Sekiranya dicoret sejarah perkembangan homoeopati di England, Amerika Syarikat, India, Pakistan, Australia atau mana-mana tempat di dunia, kehebatan dan cabarannya tidak sama dan jauh lebih kecil. 

 

Di sesetengah negara seperti di England, homoeopati berkembang justeru hubungannya dengan pihak atasan atau istana. Ia juga lebih cenderung mendapat tempat di hati masyarakat apabila praktiknya dilakukan oleh pengamal yang mempunyai latar belakang kedoktoran konvensional dan merawat secara homoeopati justeru kepakarannya di dalam kedua bidang tersebut. 

 

Perkembangan mutakhir yang memberangsangkan bermula sejak akhir 1970an apabila orang ramai mulai sedar tentang kesan-kesan sampingan dan unsur-unsur ketagihan (addictive) penggunaan ubat-ubat moden. Malah terdapat ubat-ubat yang pernah digunakan telah dikurangkan atau dihentikan pengeluarannya sama-sekali. Selain itu, masyarakat juga mulai sedar mengenai keterbatasan sistem rawatan allopati yang tidak mampu mengubati semua jenis penyakit. Contoh yang paling jelas dapat dilihat dalam kes kegagalan merawat sesetengah jenis kanser dan AIDS.

 

Ada juga yang beralih kepada rawatan homoeopati justeru ianya dianggap lebih selamat dan tidak mengandungi sebarang bahan dadah.  Rawatannya pula boleh didapati dengan bayaran yang secara relatifnya lebih murah. Akhir sekali, kita juga dapat saksikan bagaimana bertambahnya kesedaran di kalangan masyarakat tentang senaman, pemakanan, cara hidup sihat di samping kecenderungan masyarakat hari ini kepada rawatan secara holistik.

 

Semua ini membantu ke arah penerimaan semula masyarakat terhadap homoeopati.

 

[Muka Depan] [Kelebihan] [Penggunaan] [Testimoni] [Harga] [Pesanan] [Panduan] [Rencana] [Soalan] [Games]